Strategi Elak Kebocoran Wang Simpanan Anda

Strategi Elak Kebocoran Wang | Kewangan bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi. Bukan sebab tak cukup duit, tapi tabiat berbelanja dan emosi tu yang jadi susah nak menyimpan. Salah satu sebab saya syorkan simpan emas tu untuk kawal emosi berbelanja dan untuk pupuk tabiat suka menyimpan. Simpan emas bukan sekadar nak untung kenaikan harga emas dalam jangka panjang, tapi yang lebih penting, emas boleh memupuk sikap yang ada pada orang kaya-kaya iaitu suka kumpul harta sekaligus merupakan antara Strategi Elak Kebocoran Wang.

Strategi Elak Kebocoran Wang

Walaupun mungkin ada tahun yang ASB dan Tabung Haji lebih untung dari simpan emas, tapi saya percaya orang simpan emas lebih bertahan kekayaan dia. Cuba perhati, apa orang akan buat bila dapat dividen Tabung Haji atau ASB? Majoriti akan belanjakan dividen tu habis licin tak sampai sebulan! Bahkan belum dapat duit, dah siap-siap fikir nak beli apa. Itu masalah biasa bila simpan duit kertas. Kekayaan kita mudah bocor.

Kumpul Harta, Bukan Cari Makan

Orang dulu-dulu tak simpan duit kertas, tapi mereka simpan kekayaan dalam bentuk harta sebenar macam tanah kebun, emas ataupun rumah-rumah sewa. Bila mati, duit tunai berbaki biasanya tak banyak. Yang ada cuma harta-harta sebenar. Kalau simpan dalam bentuk tunai, saya yakin duit-duit tu dah lama habis. Tak ada apa-apa harta yang boleh diwariskan.

Ada seorang kawan saya masa sembang beberapa bulan lepas katanya, orang tua dia pesan, “Kalau berkerja, letak matlamat nak kumpul harta. Bukan sekadar cari makan”. Maksudnya, bila dapat duit, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah atau rumah-rumah sewa. Sebab harta-harta tu akan membuatkan kita kaya dan boleh jana hasil daripada harta-harta yang kita ada. Duit yang kita simpan dalam bentuk tunai, risiko kebocorannya sangat tinggi!

Matematik Kalah Dengan Emosi

Sebabnya bila simpan duit kertas, kita biasanya kalah dengan desakan EMOSI untuk berbelanja. Ada saja barang yang kita rasa perlu beli. Bila ada yang berkenan, otak kita mesti match dengan nombor-nombor duit yang kita ada. Tengok barang RM500, otak kita mesti matchkan dengan duit simpanan dalam akaun bank. Bila dah match, duit tu mesti bocor. Alah… RM500 jer. Kalau belanja pun, ada lagi RM2,500… Kita berbisik pada diri sendiri nak sedapkan hati. Tapi kalau simpan emas dan harta-harta sebenar, otak kita tak boleh match. Kita rasa kita tak ada duit walaupun hakikatnya kita boleh jual atau pajak emas-emas tu bila-bila masa nak pakai duit.

Strategi Elak Kebocoran Wang

Strategi Elak Kebocoran Wang – Jadi simpan emas bukan sekadar nak untung kenaikan harga jangka panjang, tapi untuk memupuk sikap orang kaya-kaya iaitu suka kumpul harta. Emas adalah harta yang mudah dibeli walaupun dengan modal kecil. Sekali beli, rasa nak beli lagi sebab ianya cantik dan manusia memang sukakan emas. Bila nak pakai duit, rasa sayang nak jual. Bila terpaksa jual, kita akan cari duit untuk beli balik emas tu. Itu tabiat biasa penyimpan-penyimpan emas. Suka kumpul harta dan sayang nak belanjakan harta. Akhir sekali, dia lebih kaya sebab perangai orang kaya suka kumpul harta, tapi orang biasa suku kumpul beban hutang.

7 Strategi Elak Kebocoran Wang

Jadi kalau nak kaya, kita kena handle emosi dengan biasakan diri dengan tabiat-tabiat atau Strategi Elak Kebocoran Wang. Antaranya:

Strategi #1 – Bayar Diri Sendiri Dulu

Bila dapat duit, bayar diri sendiri dulu dengan tambahkan simpanan. Selebihnya baru berbelanja. Bukan berbelanja dulu, lepas tu tunggu duit lebih baru simpan. Kalau tunggu duit lebih, alamatnya memang tak akan menyimpan.

Strategi #2 – Tukar Duit Kepada Harta

Kalau ada duit simpanan jangka panjang, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah, atau rumah-rumah sewa. Jangan biarkan duit tu terbiar dalam bentuk tunai kecuali duit simpanan kecemasan sahaja.

Strategi #3 – Potong Semua Kad Kredit

Potong semua kad kredit kecuali satu. Kad kredit tu lubang hutang paling mudah. Ia hutang yang kita tak sedar bahkan ia jadi simbol status. Memang nampak hebat kalau ada kad kredit Platinum, tapi kad kredit boleh jadi ‘kanser’ kewangan sebab kita tak terasa duit kita bocor. Tahu-tahu hutang dah banyak. Dah la interest paling tinggi berbanding pinjaman lain, interest dia compounding pulak tu.

Strategi #4 – Berbelanja Secara Tunai

Kalau nak beli barang, pastikan beli secara tunai supaya kita betul-betul terasa setiap sen duit yang keluar. Jauhkan segala bentuk ansuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah, hatta zero interest payment sekalipun. Walaupun mungkin zero interest payment tu secara matematiknya macam untung , tapi ia memupuk tabiat suka berhutang. Dalam jangka panjang, ia bahaya.

Strategi #5 – Langsaikan Hutang Paling Kecil

Bila nak langsaikan hutang, target hutang yang jumlahnya paling kecil dulu sebab bila satu hutang dah settle, ia jadi motivasi untuk langsaikan hutang-hutang lain. Bila dah bebas hutang, kita rasa berat untuk buat hutang lagi kecuali “hutang baik” yang membuatkan kita lebih kaya.

Tapi kalau ada dua (2) hutang yang jumlahnya lebih kurang sama, settlekan hutang yang interest rate paling tinggi dulu.

Strategi #6 – Buat “Hutang Baik”, Tambah Harta

Bila dapat kenaikan gaji yang bagus, atau pendapatan dah meningkat, manfaatkan kenaikan tu untuk buat hutang-hutang baik seperti tambah rumah sewa, beli tanah dsb. Bukan tukar kereta baru! Saya perhati ramai orang bermasalah nak simpan duit walaupun kalau ikut kira-kiranya, dia sepatutnya boleh menyimpan. Bukan senang nak paksa diri simpan duit, tapi kalau hutang, kita terpaksa bayar! Kalau buat hutang baik, kita terpaksa kaya! Tapi hutang-hutang tu mesti diurus dengan baik.

Strategi #7 – Tinggalkan “Window Shopping”

Tinggalkan sikap suka merayau-rayau di shopping complex, suka terapi diri dengan bershopping, suka semak brosur-brosur promosi dalam post box atau surat khabar, pergi ronda-ronda pasar malam dsb. Sikap ni saya dah tinggalkan dah bertahun-tahun sebab sikap macam ni terbukti duit kita senang sangat bocor. Kalau asalnya cuma nak dibeli 10 barang, tapi akhir sekali kita akan bawa balik at least 15 barang! Kenapa macam tu? Sebab kewangan bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi… Bila kita saja-saja tengok barang-barang yang kita tak perlu, mesti ada yang kita jatuh hati dan akhirnya terbeli.

Tabiat-tabiat atau Strategi Elak Kebocoran Wang yang saya senaraikan ni antara cara saya tutup emosi berbelanja dan mengelakkan kekayaan daripada bocor. Bila lubang-lubang kebocoran wang ni kita tutup, insyaAllah kekayaan kita senang berkembang walaupun mungkin pendapatan bulanan kita tak sebesar mana. Jangan ingat orang income besar tu kaya raya sebab saya jumpa ramai orang incomenya 5 angka sebulan, tapi duit simpanan kecemasan pun tak ada!

Artikel asal

 

Anda mungkin meminati: