Nasihat Pakar Yang Akan Selamatkan Kewangan Peribadi Anda

Nasihat Pakar Yang Akan Selamatkan Kewangan Peribadi Anda | Bila bercerita pasal nasihat kewangan, dah tentu ia tak akan habis. Ada banyak ilmu dan nasihat yang bagus untuk kita amalkan, tak kira dalam buku atau artikel di Internet seperti yang anda sedang baca ini.

Kalau nak baca semua, alamat bersengkang mata kita nanti.

Hari ini adalah hari bertuah buat anda. saya nak kongsikan tulisan Cameron Huddleston ini, tentang 5 nasihat pakar yang boleh selamatkan kewangan peribadi korang.

Ini bukan nasihat daripada saya, tapi daripada pakar.

Nasihat Pakar Yang Akan Selamatkan Kewangan Peribadi Anda

1: Sentiasa proaktif uruskan duit anda.

Saya rasa, ramai yang kenal dengan nama Dave Ramsey. Beliau cukup popular dengan rancangan radio beliau (seramai lebih 8 juta orang pendengar), dan membantu ramai orang uruskan kewangan peribadi secara berkesan.

Nasihat Ramsey cukup mudah dan ringkas untuk kita hadamkan:

“ELAKKAN DARIPADA MENJADI HAMBA DUIT. SEPATUTNYA, KITA YANG HAMBAKAN DUIT.”

Mula jadi proaktif dalam bab uruskan duit sendiri. Buat bajet yang baik, langsaikan hutang secara berstrategi dan secepat mungkin, dan simpan seberapa banyak yang kita boleh.

Dalam banyak-banyak kes, ramai yang dah sedia maklum macam mana nak uruskan duit dengan berkesan. Tapi, sebab terlampau komited amalkan sifat suka bertangguh, kewangan sendiri yang terkesan secara negatif.

Kalau tak mula bertindak, sampai ke sudah kewangan kita tak selamat sampai bila-bila.

2: Mulakan simpanan kecemasan sebagai persediaan.

Whitney Johnson adalah seorang penulis buku best-selling, penganalisis dan inovator yang cukup hebat dalam bab pengurusan kewangan.

Menurut beliau, menyimpan sikit-sikit berkali ganda lebih baik daripada tak menyimpan langsung. Ia tetap akan wujudkan jurang perbezaan yang ketara untuk masa depan kita.

“TAK KIRA GAJI ANDA BANYAK MANA SEKALIPUN, KALAU TAK MENYIMPAN, KESUDAHANNYA TETAP SAMA.”

Gaji yang tinggi tak bermakna kita pasti dapat menyimpan dengan banyak. Ini adalah tindakan yang bermula daripada mentaliti dan sikap kita sendiri.

Buat simpanan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan gaji. Ini untuk buatkan kita bersedia hadapi sebarang kecemasan yang tak dijangka nanti.

3: Buat pelan kewangan yang baik.

Misi Chris Hogan adalah membantu ramai orang uruskan kewangan peribadi dan bisnes mereka dengan baik. Beliau jadikan matlamat ini sebagai karier utama selepas bersara daripada sukan American Football.

Dan tak dapat nak nafikan, rancangan atau pelan tindakan yang baik akan mudahkan kita mencapai sesebuah matlamat dengan lebih mudah.

“FIKIRKAN MATLAMAT KEWANGAN YANG KITA NAK CAPAI, DAN RANGKA PELAN YANG BAIK UNTUK MENCAPAI MATLAMAT INI.”

Menurut Hogan, ramai yang dah sedia maklum tentang kepentingan perkara ini. Dan ia cukup mudah untuk kita buat. Tapi, ramai yang terlepas pandang dan ambil mudah.

Impian tanpa sebarang pelan atau rancangan, hanya akan berakhir menjadi mimpi yang sia-sia.

4: Terus-menerus hadamkan pelbagai ilmu kewangan.

Pasti ramai dah kenal nama Robert Kiyosaki. Rich Dad Poor Dad adalah antara buku kewangan terbaik sepanjang masa yang ditulis oleh beliau.

Ini ada satu nasihat Kiyosaki tentang kewangan yang elok kita hadamkan:

“BERHENTI HARAPKAN BANTUAN KERAJAAN ATAU ORANG LAIN UNTUK URUSKAN KEWANGAN KITA. MULAKAN BELAJAR DAN DALAMI ILMU KEWANGAN.

MASA DEPAN KEWANGAN KITA ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA SENDIRI.”

Tak ada siapa yang layak uruskan kewangan kita, kecuali diri kita sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Elakkan sikap sambil lewa yang akhirnya akan buatkan kewangan kita sendiri jatuh sakit. Tak ada siapa yang rela hati nak perkara ini berlaku dalam hidup masing-masing.

5: Simpan duit secara automatik setiap bulan.

Jeanette Pavini ada misi yang murni. Beliau nak membantu orang ramai selamatkan duit mereka daripada melebur tak tentu pasal.

Banyak pandangan dan pendapat beliau yang tersiar kat kaca televisyen Amerika Syarikat, selain aktif menulis buku dan artikel tentang pengurusan kewangan. Nasihat beliau untuk kita adalah:

“AUTOMASIKAN SIMPANAN SETIAP KALI GAJI ANDA MASUK. DAN SETIAP BULAN, NAIKKAN SIMPANAN SEBANYAK 1%.

MUNGKIN IA NAMPAK KECIL, TAPI IA MAMPU BERIKAN PERBEZAAN YANG KETARA KEMUDIAN HARI.”

Simpanan secara automatik boleh dibuat untuk mudahkan kerja kita setiap bulan. Lagipun, dah tentu ia lebih konsisten dan dapat pastikan kita tak terlepas untuk menyimpan dulu, sebelum belanjakan gaji selebihnya.

Kewangan kita pasti akan lebih selamat dan terjamin dengan strategi ini.

~~~~~

Keberkesanan segala nasihat di atas adalah bergantung 100% kat diri kita sendiri, sama ada nak terima nasib tanpa buat apa-apa, atau rangka strategi untuk uruskan masalah yang ada.

 

Anda juga mungkin meminati;