Wanita Mandikan Anak Anjing Di Bilik Salin Lampin R&R. Ini Komen Mufti KL

Posted by

Wanita Mandikan Anak Anjing Di Bilik Salin Lampin R&R. Ini Komen Mufti KL | Baru ni viral video wanita mandikan anjingnya di bilik salin lampin sebuah R&R. Lepas ditanya ramai, ini komen Mufti KL yang ramai setuju. Tolong jangan abaikan artikel ni.

ULASAN MUFTI KL ISU VIRAL WANITA MANDIKAN ANJING DI TEMPAT AWAM

Saya ditanya tentang berita yang tular berkaitan video seorang wanita yang memandikan anjingnya di bilik salin lampin R&R.

Islam menjunjung tinggi kepentingan berakhlak dengan haiwan. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara.” (Riwayat Muslim).

Namun, setiap perkara ada tempat dan situasinya yang sesuai. Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia sewajarnya lebih matang dalam memahami fiqh co-existence (ta’ayush) yang juga menuntut untuk menghormati sensitiviti agama lain.

Apa yang telah kita junjung selama ini dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu difahami dengan sebaiknya dalam kehidupan silang budaya dan majmuk di Malaysia.

Saya percaya, itu cuma sikap individu dan tidak melambangkan sesebuah kelompok masyarakat tertentu. Marilah bersama-sama kita pelihara keharmonian hidup muhibah yang kita pertahankan selama ini.

Kami akan siapkan sebuah artikel berhubung kepentingan tatasusila dalam masyarakat majmuk dan akan dimuatnaik di www.muftiwp.gov.my dalam masa terdekat.

Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: FB Mufti Wilayah Persekutuan

BAGI YANG MASIH TAK TAHU TENTANG VIRAL TERSEBUT. BACA NI

Wanita Mandikan Anak Anjing Di Bilik Salin Lampin R&R. Ini Komen Mufti KL

KUNJUNGAN seorang wanita ke kawasan rehat dan rawat (R&R) pada Sabtu lalu dikejutkan dengan satu adegan yang tidak sepatutnya berlaku berdekatan dengan tandas wanita.

Video yang berdurasi 16 saat yang dirakamnya menunjukkan seorang wanita lain sedang memandikan seekor anak anjing di bilik salin lampin, kemudahan yang disediakan R&R untuk menukar lampin bayi.

“R&R Tapah. Tandas wanita… boleh nampak kat situ BILIK LAMPIN! Bukan rakam saja. Dah tegur malah ‘cleaner’ (pekerja pembersihan) tu pun dihalang dari awal,” kata pengadu yang berang dan memuat naik video tersebut di halaman Facebooknya pada Sabtu.

Pengadu tersebut, Farah Shafiza Che Amat, 29, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, dia bersama suami dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan singgah sebentar di R&R Tapah, Perak.

Dia yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberitahu, dia menegur wanita berkenaan selepas mendapati haiwan tidak dibenarkan dibawa ke R&R, tambahan pula ia adalah bilik menukar lampin bayi.

“Dah tegur beberapa kali tapi tidak dipedulikan. Tidak kisah haiwan apa sekalipun, tetapi setiap pengguna R&R perlu menghormati pengunjung lain dan menjaga kebersihan.

“Kalau betul terdesak nak mandikan atau haiwan kotor mahupun membuang najis, boleh saja menggunakan air botol minuman seperti air mineral di kawasan lebih sesuai sebagai alternatif,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Farah yang merupakan ibu kepada dua anak masing-masing berumur empat dan dua tahun mengakui berang dengan tindakan wanita itu memandangkan kedua-dua anaknya masih memakai lampin.

“Walaupun ketika kejadian anak-anak saya tidak dibawa bersama, tetapi kemudahan itu juga digunakan oleh orang ramai untuk menukar lampin anak mereka.

“Kanak-kanak kecil ni kulitnya sensitif, jadi mereka mudah terdedah kepada alahan dan jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit,” katanya.

Dia membuat laporan berhubung kejadian itu kepada pusat khidmat pelanggan Plus Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali R&R, pada hari yang sama, dan berharap agar perkara tersebut tidak berulang bagi menjaga keharmonian bersama.

Farah berkata, dia menerima maklum balas daripada PLUS pada pagi Isnin bahawa mereka memandang serius kejadian itu dan menghargai keprihatinannya.

PLUS menerusi mesej yang diterimanya menjelaskan mereka dengan segera telah menjalankan proses menyamak pada bilik tukar lampin tersebut dan akan memastikan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa.

“Papan tanda dan poster haiwan peliharaan tidak dibenarkan juga diletakkan di perkarangan kawasan rehat,” menurut kenyataan itu dan menyertakan beberapa gambar kerja-kerja menyamak di bilik lampin tersebut.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *