Tanjung Dawai Di Kedah Ada Tarikan Tersendiri

Posted by

Tanjung Dawai Di Kedah Ada Tarikan Tersendiri | TANJUNG Dawai di Kedah, bukanlah destinasi pelancongan popular tetapi bagi penulis ia tetap menarik untuk dikunjungi.

Kalau Lumut dan Pangkor terkenal dengan pengeluaran ikan masin dan bilis, begitulah juga dengan Tanjung Dawai kerana aktiviti utama penduduknya adalah sebagai nelayan.

Belacan Tanjung Dawai adalah produk yang memperkenalkan perkampungan nelayan ini.

Walaupun tidak dianggap destinasi pelancongan utama, tetapi penulis mendapat ramai pengunjung dari luar datang ke Tanjung Dawai sama ada sekadar bersiar-siar atau mahu menikmati makanan laut selain mencari produk segar dari laut.

Bagi penggemar makanan laut atau hasil laut yang diproses seperti ikan masin, bilis mahupun belacan, Tanjung Dawai adalah destinasi percutian atau persinggahan yang menawarkan lebih banyak pilihan, segar dan memenuhi selera, selain harganya yang jauh lebih murah.

Meriah pada waktu senja 

Arked Tanjung Dawai yang diselenggara Majlis Perbadanan Sungai Petani, terletak bersebelahan Jeti Tanjung Dawai adalah pusat jualan pelbagai produk hasil laut termasuklah ikan kering, keropok udang, keropok lekor, telur masin dan yang paling popular ialah ikan masin talang padi.

Bangunan dua tingkat ini kelihatan tenang di bahagian bawah, namun sebaik saja menjejakkan kaki di tingkat dua, pengunjung terlalu padat, berjalan pun bergesel bahu!

Mereka yang ‘hantu’ ikan masin, di sinilah ‘port’ terbaik untuk memborong gara-gara harganya yang murah! Justeru, tidak hairanlah kawasan penjaja kecil ini sentiasa dipenuhi pengunjung yang sanggup ke Tanjung Dawai semata-mata untuk memperoleh ikan atau telur masin gred A, selain keropok lekor yang kaya dengan inti ikan parang.

Penulis terserempak dengan pengunjung yang datang dari Johor Bahru ke Tanjung Dawai demi ikan masin!

Suasana lebih meriah menjelang senja apabila restoran ikan bakar dan makanan laut yang baru memulakan perniagaan memasang lampu berwarna- warni di sepanjang jalan menuju ke Tanjung Dawai, seolah-olah ada pesta laut. Cuma anda perlu bijak memilih untuk singgah di gerai yang paling sedap hidangannya.

Mudah jika hendak tahu restoran mana paling sedap, ada ramai pengunjung atau banyak kereta tepi jalan, ikan bakarnya pasti ‘meletup’!

Laluan ke Pantai Merdeka

Peningkatan pelancong menyebabkan restoran ikan bakar tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sepanjang jalan ke pekan Tanjung Dawai.

Penulis sempat berkunjung ke pusat pemprosesan ikan kering dan belacan di kampung nelayan yang terletak tidak jauh dari Jeti Tanjung Dawai. Pengusaha hasil laut, Mokhtar Mohamed berkata, beliau hanya menggunakan ikan gred A ketika menghasilkan ikan kering atau bilis kerana tidak mahu pelanggan setia ‘lari’.

“Pusat pemprosesan kami hanya menggunakan ikan talang padi untuk dijadikan ikan masin kerana rasanya lebih enak apabila digoreng, selain lebih tahan lama. Pelanggan setia, selalunya akan terus datang ke pusat pemprosesan kerana mereka membeli secara pukal, sekali gus harga yang ditawarkan pasti lebih murah.

“Tapi, pelanggan dari luar Kedah atau Pulau Pinang, mereka lebih senang berkunjung ke Arked Tanjung Dawai,” katanya.

Selain menjadi tempat pengumpulan hasil laut, Tanjung Dawai juga menjadi akses kepada pengunjung yang mahu ke Pantai Merdeka. Jika berkereta perlu pusing jauh ke pantai peranginan itu. Namun, dengan bot laju dari Jeti Tanjung Dawai, menjadi pilihan pelancong yang ingin bercanda ke Pantai Merdeka.

Kepada kaki pancing, anda boleh menghabiskan malam anda di Jeti Tanjung Dawai. Antara ikan yang boleh dipancing di sini ialah gelama, sembilang dan ikan duri. Penginapan pula tiada masalah kerana banyak chalet bajet disediakan di Tanjung Dawai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *