Kesedihan Ezlynn Masih Belum Sembuh

Posted by

Kesedihan Ezlynn Masih Belum Sembuh | WANITA mana yang tidak bersedih saat talak dilafazkan kepadanya. Begitu juga perasaan yang dirasai penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini.

Masih basah di fikiran Ezlynn tarikh 23 Oktober 2017 di hadapan hakim syarie, gugurnya talak yang dilafazkan oleh bekas suaminya, Adam Fahmy Shamsuddin.

Hampir dua tahun berlalu, penyanyi berusia 37 tahun ini akui sukar untuk dia memadamkan semua memori yang pernah berada dalam ruang hatinya.

Masakan mudah untuk dia melakukan semua itu? Malah dia juga seperti individu lain yang pernah melalui fasa yang sama, memohon untuk diberikan masa bagi melupakan semua kenangan.

“Selama 11 tahun saya mengenali bekas suami, mustahillah semuanya pahit. Ya, saya akui ada juga manisnya, bukan semuanya buruk dan membosankan.

“Ada juga momen yang indah antara kami berdua yang sukar untuk saya lupakan dalam waktu sesingkat ini.

“Apa yang boleh saya katakan, ketika ini saya masih belum ‘sembuh’ sepenuhnya. Masih perlukan masa untuk ‘merawat’ hati yang pernah terhiris,” luahnya berkongsi isi hati yang terbuku.

Lantaran itu, pemilik nama sebenar Azline Ariffin belum punya kekuatan untuk mencari pengganti bagi menjadi ‘penyembuh’ luka yang pernah tercalar itu.

Katanya, tidak adil bagi lelaki yang bakal menjadi pasangannya andai kenangan lalu masih menghantui kotak memorinya.

“Saya ini manusia biasa yang tiada kuasa untuk memadamkan kenangan dalam sekelip mata. Mungkin sebab itu saya sukar untuk cuba mendekati seseorang atau didekati oleh orang lain.

“Saya tak mahu dalam hubungan baharu itu nanti, saya menjadi punca perpisahan. Saya tidak mahu melukakan perasaan lelaki lain dengan kenangan lalu. Lelaki mana yang akan tahan jika asyik perkatakan hal lama?

“Insya-Allah, saya hanya berserah dan reda dengan jalan yang diaturkan Tuhan. Jika Dia rasa itu yang terbaik, maka laluan itulah yang akan saya ikuti,” tuturnya.

Kesedihan Ezlynn Masih Belum Sembuh

Kikis imej Hi Hi Bye Bye

TIADA istilah terlewat untuk meneruskan karier seninya yang sudah bertapak kukuh sejak 17 tahun. Atas dasar itu juga Ezlynn yakin masih lagi diterima dan relevan dalam persada seni tanah air.

Membuktikan kesungguhannya itu, dia tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Goyang hasil ciptaan Farique Nadzir dan Adah Kahir yang berkonsepkan fun ska dan segar.

Rentetan daripada itu, Ezlynn nekad untuk mengubah penampilannya 360 darjah dan enggan terus dibayangi zaman kegemilangannya sewaktu hit dengan lagu Hi Hi Bye Bye.

Semua dilakukannya demi impian untuk terus dikenali sebagai penyanyi berkaliber meskipun sedar dia perlu bersaing dengan muka-muka baharu yang semakin rancak membina nama.

Menjadikan penyanyi antarabangsa Nicki Minaj sebagai ‘mentor’ dari segi perubahan imej dan penampilan diri, dia sanggup berhabis ribuan ringgit hanya semata-mata membeli koleksi rambut palsu yang menjadi sohor kini buat dirinya.

“Bak kata orang, imej baharu untuk kehidupan yang baharu. saya tidak bercadang nak buat lagu sedih-sedih. Kerana ada sesetengah beranggapan lirik lagu yang dinyanyikan itu adalah satu doa.

“Saya akui dulu kurang percaya, namun hakikatnya saya sendiri mulai sedar bila menyanyikan lagu-lagu berunsurkan kesedihan.

“Maka sebab itulah saya nak buang kisah sedih dan gantikan ia dengan perkara gembira sahaja. Single Goyang adalah satu genre yang amat saya suka iaitu ada pop, rock punk dan ska serta ada sedikit irama dangdut.

“Saya nak orang kenali saya dengan Ezlynn yang baharu. Tak mahu dah ada gelaran ‘Ezlynn Hi Hi Bye Bye’ seperti dulu,” akhirinya.

Digoda, kawan menjauh

STATUS janda yang kini dibawanya menjadi faktor utama mengapa dia semakin banyak kehilangan rakan wanita.

Sangka Azlynn mudah, mungkin mereka bimbang andai dia akan mengganggu gugat kehidupan rumah tangga teman-teman ekoran statusnya yang sudah kembali solo itu.

Pun begitu, sebagai seorang wanita yang punya harga diri dan maruah, Ezlynn tidak mahu ambil pusing akan hal remeh dan lebih gemar mengambil pendekatan membuat hal sendiri.

“Saya sedar semenjak sah bercerai, ramai kawan perempuan yang dahulunya rapat, tiba-tiba sahaja menjauhkan diri.

“Saya seorang yang optimis dan sentiasa berfikiran positif. Buat apa nak kusutkan kepala dengan memikirkan hal yang memeningkan? Jadi lebih baik saya tumpu pada kehidupan sendiri.

“Lagipun, saya seboleh-bolehnya akan cuba mengelak daripada mendekati suami orang. Saya tidak mahu meruntuhkan ‘masjid’ orang, tapi kalau sudah namanya takdir, saya tak mampu nak elak.

“Apa-apa pun, kalau ada yang bertanya pernahkah saya diganggu suami rakan sendiri, saya tiada jawapan ya atau tidak. Yang pasti, lelaki tetap lelaki. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” tegasnya yang pernah menyertai program Gegar Vaganza musim kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *